November 24, 2011
Memohon Kekayaan Rohani Dan Jasmani
Allah al-Mughni, Dia-lah Yang Memberi kekayaan dan mencukupkan sesiapa pun yang dikehendaki-Nya, baik yang bersifat zahir mahupun batin, baik harta benda mahupun rohani. Perkara ini memberi jaminan kepada orang beriman suapaya tidak khuatir menjadi miskin, sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya (kepercayaan) orang-orang kafir musyrik itu najis, oleh itu janganlah mereka menghampiri Masjidil Haram sesudah tahun ini dan jika kamu bimbangkan kepapaan, maka Allah akan memberi kekayaan kepada kamu dari limpah kurnia-Nya, jika Dia kehendaki. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” – Surah at-Taubah: 28
Betapapun kayanya, baik harta benda mahupun rohani, manusia tetap memerlukan selain dirinya untuk mencukupkan berbagai keperluannya dan menyelesaikan berbagai urusannya. Dia-lah yang Memberi kekayaan dan mencukupkan yang paling diperlukan sedangkan Dia tidak memerlukan kepada selain-Nya. Dia adalah Allah al-Mughni. Banyaknya anugerah yang Dia berikan kepada makhluk-Nya tidak akan pernah mengurangkan kekayaan-Nya sedikit pun.
Kekayaan tidak perlu ditunjukkan dnegan banyaknya wang, harta benda, perhiasan dan harta lainnya. Tetapi lebih jauh lagi kekayaan sebenarnya adalah “kekayaan rohani” yang diharapkan mampu membawa, menerokai dan menyerap, serta mengembangkan sumber ketenangan, ketenteraman, kedamaian, kebahagiaan dan kesejahteraan hidup yang hakiki, yang belum tentu dapat diperolehi oleh setiap orang dengan statusnya.
Sabada Nabi s.a.w. yang bermaksud:
“Kekayaan itu bukanlah kerana banyaknya harta benda, tetapi kekayaan yang sebenarnya adalah kaya akan jiwanya.” – (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah r.a.)
Kekayaan bukannya apabila seseorang banyak mengumpulkan dan memiliki harta benda tetapikaya yang sebenarnya adalah apabila seseorang merasa kaya jiwanya, bebas hatinya dari bergantung pada sesama makhluk, mantap imannya, lurus Islamnya, ihsan perilakunya, murni tauhidnya, banyak amal solehnya dan sentiasa taat kepada Allah s.w.t. dan Rasul-Nya s.a.w. dalam setiap situasi dan keadaan.
Mencari harta kekayaan berupa harta/kebendaan tidaklah dilarang tetapi kekayaan bukanlah tujuan utama yang perlu diperolehi seseorang untuk mendapatkan kehidupan yang bahagia. Mereka yang kaya jiwa akan menggunakan harta kekayaan untuk memenuhi keperluan hidup dengan betul, menyokong dirinya agar giat dalam beribadah kepada Allah s.w.t. dan menjadikan harta itu sebagai pelaburan untuk kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.
Memohon Kekayaan Jasmani Dan Rohani:
Jika seseorang bersungguh-sungguh beriman kepada Allah al-Mughni dan memiliki hati yang bersih, lalu dia membaca “Ya Mughni” sebanyak 1131 kali setelah selesai solat Jumaat atau sesudah solat sunat Dhuha atau solat sunat Hajat dengan maknanya meresap di dalam hati dan melakukannya secara berterusan, maka Allah s.w.t. akan memenuhinya dengan kekayaan, baik harta benda mahupun rohani dan menghindarkannya dari sifat kedekut, malas dan sifat negatif lain. Wirid ini juga bermanfaat suapaya disembuhkan mereka yang mendapat sesuatu penyakit dan juga untuk memperolehi pertolongan-Nya untuk membebaskan diri atau orang lain yang dianiayai oleh undang-undang dan mahkamah.
Written by: admin
Filed Under: Asma' al-Husna, Featured, Rawatan Islam, Uncategorized
Tags: kaya jiwa, kaya rohani, memohon kekayaan
Trackback URL: http://www.penawar.com/v11/2011/11/24/memohon-kekayaan-rohani-dan-jasmani/trackback/


