September 22, 2011
Saka Di Kalangan Masyarakat Melayu
Istilah saka dalam pemahaman masyarakt Melayu merujuk kepada ilmu yang diperturunkan kepada waris yang di atas kepada waris di bawah seperti daripada ibu atau bapa kepada anak atau daripada datuk dan nenek kepada cucu dan cicit. Jika seseorang ibu atau bapa memiliki ilmu perbomohan atau boleh diistilahkan sebagai saka bomoh yang berkemampuan untuk merawat pesakit khususnya yang
melibatkan gangguan makhluk halus, maka ilmu perbomohan atau perdukunan tersebut diperturunkan kepada warisnya sehingga menyebabkan pewaris dapat mengubati orang lain sebagaimana dilakukan oleh ibu bapa atau datuk dan neneknya sebelum itu.
Waris tersebut mungkin telah dipilih sebagai pewaris yang kebiasaannya akan menerima saka dalam bentuk sesuatu yang mendampinginya. Waris juga akan menjadi lebih aktif dan ilmu yang dimiliki itu lebih berkesan apabila pewarisnya meninggal dunia.
Penurunan saka tersebut boleh berlaku dengan sengaja melalui pengakuan waris untuk menerimanya atau secara tidak sengaja seperti melalui penerimaan sesuatu barang seperti keris lama, geliga, lembing dan lain-lain yang melambangkan suatu bentuk penerimaan waris tersebut terhadap ilmu saka itu. Oleh sebab itu, terdapat di kalangan individu yang tidak sedar bahawa beliau telah mewarisi ilmu saka tersebut sehingga menyebabkan beliau sering diganggu dan sebagainya.
Memandangkan saka adalah suatu bentuk ilmu yang diwarisi atau dipusakai, ia sangat berkait rapat dengan jin-jin, sama ada jin tersebut dibela, dijadikan sahabat, dijadikan saudara dan pembantu sama ada secara sedar atau tidak. Melalui perantaraan makhluk inilah yang membantu seseorang itu melakukan apa sahaja sama ada untuk menjalankan rawatan perubatan atau perbomohan atau untuk kepentingan tertentu seperti menjadi kebal dan kuat, digeruni, untuk tujuan kecantikan, perbidanan dan sebagainya.
Written by: admin
Filed Under: Featured, Saka Dan Rawatan
Tags: amalan saka, gangguan saka, ilmu saka, pewaris saka, saka, saka warisan
Trackback URL: http://www.penawar.com/v11/2011/09/22/saka-di-kalangan-masyarakat-melayu/trackback/

