September 20, 2011
Reaksi Pesakit Terhadap Ruqyah Al-Quran
Kebanyakan pesakit atau mangsa gangguan jin menunjukkan reaksi yang tersendiri apabila diruqyahkan dengan ayat-ayat Quran.
Antara reaksi pesakit yang biasa berlaku ialah berlakunya kerasukan secara penuh. Pada tahap ini, pesakit biasanya tidak sedarkan diri dan minda pesakit dikawal sepenuhnya oleh jin-jin yang mengganggunya.
Suara pesakit mula bertukar dan kadangkala bertutur bukan dalam bahasa ibundanya. Pada ketika ini, sebenarnya jin-jin yang yang mengganggu itu bertutur dengan perawat. Lenggok bahasa badan juga berubah dan kadangkala pesakit menjadi ganas dan meronta-ronta. Dalam keadaan ini, perawat-perawat dapat berkomunikasi secara terus dengan jin-jin yang mengganggu pesakit atau mangsa berkenaan.
Beberapa soalan yang biasanya ditanya oleh perawat:
- Nama dan tempat tinggal jin itu?
- Tujuan jin itu mengganggu mangsa?
- Siapa yang menyuruh jin itu masuk?
- Lokasi jin itu di dalam tubuh manusia?
Sebenarnya, apa yang dikatakan oleh jin-jin itu tidak boleh diambil sebagai fakta kerana mereka merupakan makhluk yang sering berbohong. Terdapat juga pesakit yang dapat mengingati apa yang berlaku ketika rawatan tetapi beliau tidak mampu mengawal percakapan dan perbuatannya semasa rawatan, seolah-olah ada orang lain yang sedang bercakap atau bertindak bagi pihaknya. Kebanyakan pesakit pula tidak dapat mengingati apa-apa ketika proses rawatan seolah-olah beliau tertidur lena ketika rawatan dijalankan.
Terdapat segolongan pesakit yang tidak dikuasai jin sepenuhnya. Mereka masih sedarkan diri ketika ruqyah-ruqyah dibacakan tetapi terdapat reaksi yang dialami oleh pesakit itu. Antara reaksi yang biasanya berlaku adalah:
- Pesakit berdebar-debar.
- Pesakit berasa seram sejuk ataupun berasa bahang panas di dalam tubuh.
- pesakit berasa menggigil ataupun menggeletar tanpa sebab.
- Pesakit rasa kesakitan yang tidak terperi pada sebahagian tubuh seperti kepala, perut, dada, pinggang dan bahu.
- Pesakit dapat merasakan ada benda yang bergerak-gerak pada suatu bahagian tubuh seperti di perut dan anggota tangan ataupun kaki.
- Pesakit berasa seperti mengalami kekejangan otot pada bahagian tubuh seperti tangan, jari-jemari ataupun kaki dan bahu ataupun belakang.
- Pesakit berasa pening ataupun loya seperti mahu muntah.
- Pesakit berasa sesak nafas dan kadangkala batuk.
- Pesakit berasa sakit yang begitu pedih ataupun rasa seperti terbakar pada tempat-tempat yang dipicit perawat.
Di atas adalah sebahagian daripada raksi yang lazimnya dialami oleh pesakit. Terdapat juga pelbagai jenis reaksi yang wujud seperti
yang kami saksikan sebagai perawat. Ada yang tidak menunjukkan apa-apa reaksi kepada bacaan ruqyah perawat. Terdapat beberapa kemungkinan apabila keadaan ini berlaku:
- Pesakit tidak mengalami gangguan jin dan hanya mengalami penyakit fizikal sahaja.
- Jin-jin yang mengganggu pesakit sudah lari dan kelaur daripada tubuh pesakit sebelum rawatan dijalankan.
- Jin-jin masih berada di dalam tubuh pesakit dan cuba menipu perawat dengan tidak memberikan reaksi. Keadaan ini berlaku apabila pesakit sudah biasa mendapat rawatan di pelbagai tempat dan jin-jin sudah mahir serta belajar menipu perawat-perawat.
Saelepas ruqyah dibacakan ke atas pesakit dan pesakit mulai bereaksi, jin-jin di dalam tubuh diarah, dihalau ataupun dipaksa keluar mengikut kaedah-kaedahnya. Apabila jin-jin jahat itu berjaya dihalau ataupun dikeluarkan daripada tubuh pesakit, dengan izin Allah s.w.t., pesakit kembali sedar dan mula mengingati apa yang berlaku. Dalam keadaan tertentu, jin-jin berjaya didakwahkan supaya kembali kepada ajaran Islam dan seterusnya memeluk agama Islam.
Written by: admin
Filed Under: Rawatan Islam
Tags: rawatan dengan quran, rawatan islam, ruqyah quran, ruqyah syariyyah
Trackback URL: http://www.penawar.com/v11/2011/09/20/reaksi-pesakit-terhadap-ruqyah-al-quran/trackback/

